Berita Hari ini

Tragis 2 Pagi: Mangsa Kelong Roboh Masih Belum Dijumpai

Batu Pahat: Seorang pemancing dikhuatiri hilang manakala tujuh termasuk tiga warga asing terselamat selepas sebuah pondok memancing (kelong) roboh pada kedudukan satu nautika dari Sungai Lurus, Senggarang di sini, awal pagi tadi.

Kejadian dipercayai berlaku ketika kesemua mangsa dikatakan sedang memancing di atas kelong yang diperbuat dari kayu sekitar jam 2 pagi.

Komander Operasi, Balai Bomba dan Penyelamat Rengit, Mohd Nazri Hassan, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.36 pagi daripada salah seorang mangsa.

Katanya, seramai enam anggota bomba, polis dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bergegas ke lokasi bagi mencari dan menyelamat mangsa.

“Menurut maklumat diterima, mangsa yang hilang adalah Mohd Faizal Mohd Noor, 45, manakala mereka yang terselamat pula berusia antara 31 hingga 52 tahun.

“Salah seorang mangsa terselamat memberitahu, kelong dinaiki tiba-tiba roboh ketika mereka sedang memancing lalu terjatuh ke dalam laut.

“Tujuh mangsa ditemukan selamat pada jam 4.47 pagi tadi dan ketika itu, mereka sedang berpaut pada serpihan kayu kelong manakala seorang daripadanya hilang.

“Kesemua mereka kemudiannya dibawa ke pangkalan APMM Batu Pahat untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, pada hari kejadian disebabkan cuaca tidak mengizinkan serta angin kencang, polis meminta bantuan APMM dan Polis Marin untuk ke lokasi.

“Justeru, operasi mencari dan menyelamat seorang mangsa yang masih hilang diteruskan pagi ini,” katanya.

‘Saya berserah pada Allah tentukan takdir suami’ – Isteri mangsa kelong roboh

Batu Pahat: “Saya sentiasa berdoa agar suami ditemui selamat. Saya hanya berserah pada Allah menentu takdirnya,” kata Julaiha Rahman, isteri kepada pemancing, Mohd Faizal Mohd Noor, 45, yang hilang selepas kelong memancing roboh di Sungai Lurus, Senggarang, awal pagi tadi.

Kejadian berlaku sekitar jam 2 pagi ketika mangsa bersama tujuh lagi rakan sedang memancing sebelum kelong itu roboh menyebabkan mereka terjatuh ke dalam laut.

Julaiha, 45, berkata, berita menimpa suaminya itu diketahui selepas mendapat panggilan telefon dari rakan pada jam 7.30 pagi.

Katanya, pada jam 11.30 pagi semalam, sebelum bertolak dari rumah di Renggam, Simpang Renggam, suaminya memaklumkan mahu keluar memancing bersama rakan.

“Waktu itu saya tiada di rumah kerana sedang bekerja namun tiba-tiba pagi ini, saya dapat panggilan daripada rakan suami yang tidak ikut memancing.

“Saya juga diberitahu rakan suami yang lain terselamat dalam insiden itu. Saya bersama anak dan adik beradik bergegas ke lokasi untuk mengikuti perkembangan.

“Buat masa ini, belum ada apa-apa berita mengenainya,” katanya ketika ditemui di Pantai Rekreasi Sungai Punggor, di sini.

Dalam pada itu, abang mangsa, Ramlan, 55, berkata, mereka sekeluarga berharap adiknya yang juga anak ke-14 daripada 15 adik beradik ditemukan dengan segera.

Katanya, mereka kini berserah pada Allah semoga dipertemukan dengan segera serta reda apa yang berlaku ke atas adiknya.

“Kami harap sangat dia ditemukan segera, tak kisah dalam keadaan apa jua sekali pun.

“Saya dapat berita ini sebaik pulang dari tempat kerja. Salah seorang abang beritahu adik hilang di laut, kami segera bergerak ke lokasi untuk mengetahui lebih lanjut,” katanya.

Dalam pada itu, dua daripada tujuh pemancing yang terselamat masih menerima rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini, akibat kecederaan.

Mereka yang terselamat dikatakan sempat berpaut pada sebatang kayu sebelum salah seorang daripadanya menghubungi talian kecemasan memaklumkan insiden itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai insiden itu.

Katanya, operasi digerakkan dengan kerjasama bomba dan penyelamat, Agensi Penguat Kuasa Maritim Malaysia (APMM) serta nelayan tempatan.

“Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan dan siasatan pada ketika ini diklasifikasikan sebagai orang hilang,” katanya.

Kredit: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back To Top