Berita Hari ini

Kucing kesayangan ditemui berlumuran darah, jiran warga emas ditahan

Polis menahan seorang lelaki warga emas kerana dipercayai memukul seekor kucing hingga cedera di Taman Yayasan, dekat sini, semalam. Tangkapan ke atas suspek yang berusia 70-an itu dibuat kira-kira jam 12.20 tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, seorang wanita yang juga pemilik kucing berkenaan mendakwa kucingnya jenis Turkish hilang. Katanya, wanita berkenaan turut membuat laporan polis selepas mengesan satu rakaman video serta gambar kejadian itu yang tular dalam media sosial memaparkan seekor kucing dalam keadaan cedera.

“Ketika mencari kucingnya wanita terbabit ternampak jirannya iaitu lelaki warga tempatan sedang menjolok sesuatu dalam longkang. “Wanita itu kemudian mendapati kucingnya di dalam longkang berlumuran darah dipercayai dipukul oleh suspek,” katanya dalam kenyataan.

Ahmad Zamry menambah, hasil soal siasat awal mendapati suspek mengaku memukul kucing berkenaan kerana merasa terganggu. Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) juga berjaya membongkar perbuatan lelaki itu. “Selepas meneliti rakaman CCTV di kawasan kejiranan berkenaan mendapati suspek bertindak memukul dan melempar kucing berkenaan ke kawasan rumah tidak berpenghuni.

Kes disiasat bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan, Seksyen 29(1) Akta Kebajikan Haiwan 2015 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Kredit: Buletin utama TV3

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back To Top