BAYANGKAN pada usia yang sangat kecil, kanak-kanak ini terpaksa melalui episod sedih apabila diejek orang sekeliling kerana mempunyai kepala berbentuk aneh.
Kisah kanak-kanak berusia tiga tahun dari Fujian, China yang dikenali sebagai Qibao itu mendapat liputan media tempatan apabila keluarganya berkongsi perjalanan rawatan yang penuh dengan cabaran dan emosi.
Qibao dilahirkan dengan keadaan kulit jarang berlaku (rare condition) dikenali sebagai Nevus Kongenital, yang mana dia memiliki beberapa tahi lalat besar dan gelap di kepala.
Lama-kelamaan, bahagian kiri serta kanan kepala Qibao membengkak dan membesar sehingga dia disamakan dengan watak kartun Disney, Mickey Mouse.
Doktor pakar di Shanghai mengesyorkan Qibao menjalani pembedahan untuk membuang benjolan itu, namun satu prosedur khas perlu dilakukan terlebih dahulu iaitu pembesaran kulit bagi menghasilkan tisu mencukupi untuk menutup luka selepas pembedahan.

Prosedur pembedahan yang mengambil masa selama enam jam itu berjaya sekali gus mengembalikan semula senyuman di wajah kanak-kanak berkenaan dan keluarganya.
Kisah Qibao bukan sahaja memperlihatkan kecanggihan dunia perubatan, malah menjadi simbol harapan bagi kanak-kanak lain yang berdepan keadaan serupa bahawa tiada perkara yang mustahil dan mereka berhak untuk hidup tanpa stigma.
Apa itu Nevus Kongenital?
- Berlaku akibat pertumbuhan berlebihan sel-sel kulit yang menghasilkan pigmen (melanosit). Ia bukan sahaja memberi kesan ketara pada penampilan fizikal, malah boleh menjejaskan kesejahteraan emosi dan psikologi kanak-kanak yang mengalaminya.
- Kes ini berlaku hanya satu peratus kepada bayi yang baru lahir, namun dalam kebanyakan kes, saiznya kecil dan sering dirujuk sebagai ‘tanda lahir coklat’
- Tahi lalat ini lazimnya membesar seiring pertumbuhan kanak-kanak. Untuk kes yang bersaiz besar seperti Qibao, pembedahan sering kali menjadi keperluan bagi tujuan kosmetik dan kesihatan.
- Sekiranya pembedahan tidak sesuai atau berisiko tinggi, rawatan alternatif seperti terapi laser atau dermabrasion (kaedah mengelupas lapisan atas kulit) boleh digunakan untuk mengurangkan pigmentasi serta memperbaiki tekstur dan penampilan kulit.
Sumber: mStar