KUALA TERENGGANU – Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (Papisma) menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan gejala seks songsang lelaki sesama lelaki atau Men Sex with Men (MSM) yang meningkat saban tahun, terutama dalam kalangan remaja dan golongan muda.
Presidennya, Dr Awisul Islah Ghazali berkata, statistik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 2024 menunjukkan sebanyak 2,037 kes atau 64 peratus daripada 3,185 jangkitan HIV berpunca daripada hubungan homoseksual dan biseksual.
Menurutnya, peratusan itu menunjukkan peningkatan berbanding 57 peratus yang direkodkan pada tahun 2018.
“Gejala MSM bukan sahaja menjadi ancaman sosial, malah turut menyumbang kepada peningkatan kes HIV dan sifilis, terutamanya melalui hubungan seks melalui dubur (reseptif) yang berisiko tinggi.
“Kebanyakan individu terlibat terdiri daripada mereka yang pernah mengalami trauma seksual, kekeliruan identiti jantina, pengaruh rakan sebaya serta terdedah kepada aplikasi sosial seperti Grindr.
“Peningkatan ini juga didorong oleh perubahan gaya hidup remaja yang mudah terpengaruh dengan pornografi, kurang pendedahan kepada pendidikan seksual berteraskan nilai dan pengaruh persekitaran,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Jelas beliau, lebih membimbangkan apabila lebih 90 peratus kes HIV di Malaysia melibatkan lelaki, dengan majoriti daripada mereka berusia lingkungan 20an.
Sehubungan itu, katanya, pendekatan menyeluruh perlu digerakkan termasuk pendidikan seksual berasaskan nilai Islam, kaunseling psikologi serta modul pemulihan moral.
“Papisma bersama WARAK Malaysia kini sedang membangunkan Pelan Tindakan Komprehensif Get To Zero 2030 (GTZ 2030) bagi menangani isu HIV/AIDS dan LGBT melalui pendekatan profesional serta berhemah yang dijangka dilancarkan dalam masa terdekat.
“KKM juga melaksanakan program seperti Test Now dan Differentiated HIV Services for Key Population (DHSKP), manakala badan bukan kerajaan seperti Malaysian AIDS Council (MAC) serta institusi agama turut memainkan peranan penting dalam pencegahan dan pemulihan,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa homoseksual dan MSM merujuk kepada kelompok yang sama, namun istilah yang digunakan berbeza.
“Homoseksual merujuk kepada kecenderungan seksual, manakala MSM merujuk kepada perlakuan seksual itu sendiri.
“Kedua-duanya menyumbang kepada krisis kesihatan dan sosial sekiranya tidak dibendung secara bersepadu,” katanya.
Dr Awisul turut menegaskan bahawa peranan komuniti, ibu bapa dan institusi pendidikan sangat penting dalam usaha mendidik serta membimbing golongan muda agar tidak terjerumus dalam gejala songsang tersebut.
Katanya, Papisma menyokong penuh usaha Kerajaan Terengganu memasang papan tanda larangan aktiviti homoseksual di lokasi strategik seluruh negeri.
Jelas beliau, inisiatif itu selari dengan tuntutan Islam serta norma masyarakat Malaysia yang menolak gejala sosial tidak sihat.
“Papisma sebagai sebuah badan profesional yang dianggotai doktor Muslim memandang serius peningkatan gejala luar tabii, khususnya dalam kalangan lelaki.
“Langkah kerajaan negeri ini bukan bertujuan menghukum, sebaliknya sebagai bentuk pendidikan awam dan peringatan agar masyarakat agar menjauhi amalan songsang ini,” katanya.
Sumber: Sinar Harian