KEPALA BATAS: Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kepala Batas kini secara rasminya dikenali sebagai MRSM Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Ringkasan AI
- MRSM Kepala Batas kini dikenali sebagai MRSM Tun Abdullah Ahmad Badawi bagi menghargai jasa dan sumbangan bekas Perdana Menteri Kelima kepada negara.
- Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan penganjuran seminar untuk mendalami pemikiran serta gagasan Tun Abdullah dalam bidang perkhidmatan awam dan politik.
- Bekas Ahli Parlimen Kepala Batas selama tujuh penggal ini meninggal dunia pada 14 April lalu, dan penamaan semula MRSM ini menjadi simbol penghargaan terhadap sumbangannya kepada negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, penamaan semula institusi berkenaan adalah sebagai pengiktirafan dan penghormatan khas kepada Tun Abdullah yang banyak berjasa kepada agama, bangsa dan negara.
Menurutnya, sebagai menghargai jasa dan sumbangan Tun Abdullah, beliau juga mahu pihak MARA menganjurkan satu Seminar Pemikiran Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam tempoh terdekat.
“Saya telah mengarahkan Pengerusi Mara untuk menganjurkan Seminar Pemikiran Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam tempoh sebulan ini, melibatkan kalangan intelektual, sejarawan dan ahli profesional, khususnya dalam kalangan pimpinan serta ahli UMNO.
“Seminar ini bertujuan mencungkil dan mendalami pemikiran serta gagasan Pak Lah dalam pelbagai bidang sepanjang kariernya dalam perkhidmatan awam dan politik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pemasyhuran MRSM Tun Abdullah Ahmad Badawi di sini, pada Isnin.
Hadir sama, anak Allahyarham Tun Abdullah, Tan Sri Kamaluddin Abdullah; Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Seri Asyraf Wajdi Dusuki; Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohamad Abdul Hamid; dan Ahli Dewan Undangan Negeri Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Sebelum ini, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Seri Asyraf Wajdi Dusuki mencadangkan supaya Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kepala Batas, Pulau Pinang dinamakan semula sebagai MRSM Tun Abdullah Badawi bagi mengenang jasa dan sumbangan Perdana Menteri Kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Pada 14 April lepas, Tun Abdullah, 85, menghembuskan nafas terakhir pada pukul 7.10 malam di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.
MRSM Kepala Batas terletak di kawasan Parlimen yang pernah diwakili Tun Abdullah selama tujuh penggal dari 1978 hingga 2008.
Sumber: Astro Awani