Kuala Lumpur: Kajian ekologi dan jejambat hidupan liar (viaducts) perlu dibangunkan segera di kawasan hutan hujan tropika Belum-Temenggor di Perak ekoran habitat hidupan liar, khususnya gajah yang semakin terganggu dan kerap memasuki kawasan manusia ketika ini.
Ia perlu disegerakan memandangkan peningkatan kenderaan di kawasan itu juga semakin tinggi dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini, yang dilihat bukan sahaja ‘mengacau’ habitat dan tabiat semula jadi mamalia darat itu.
Presiden Persatuan Ekologi Malaysia Prof Ahmad Ismail berkata, kes terbaharu yang membabitkan anak gajah dirempuh di laluan berkenaan menunjukkan adanya konflik antara hidupan liar dan manusia di kawasan itu.
Menurutnya, hutan di Belum-Temenggor menjadi hutan penting sebagai habitat gajah, namun lebuh raya yang menghubungkan timur-barat turut dikesan menghalang laluan gajah yang merayau di kawasan berkenaan.
“Sememangnya dari dahulu lagi, pengguna jalan raya melihat gajah muncul sama ada di bahu jalan atau melintas lebuh raya itu. Ini membuktikan mereka sudah terbiasa dengan kenderaan, khususnya apabila pertambahan hidupan berkenaan.
“Dalam tempoh lama terbiasa dengan kenderaan, mereka dikesan juga terbiasa untuk melintas, khususnya pada waktu malam.
“Meskipun kemalangan jalan raya membabitkan gajah tidak sekerap kejadian hidupan lain, perhatian serius perlu diberikan kerana populasi gajah turut dikesan berkurangan dan terancam,” katanya kepada BH di sini, hari ini.
Semalam, penduduk negara dirundung hiba apabila berita mengenai seekor ibu gajah tidak berganjak selama beberapa jam selepas anaknya dirempuh dan terperosok di bawah lori di Jalan Raya Timur-Barat.
Gajah dewasa itu kelihatan berusaha ‘menolak’ lori berkenaan dengan kepalanya untuk menyelamatkan anaknya.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, beberapa kajian ekologi yang mendalam perlu disegerakan di kawasan itu, khususnya membabitkan pergerakan gajah melintas jalan raya Gerik-Jeli.
“Pihak bertanggungjawab juga harus mengenal pasti kawasan-kawasan sensitif dan semasa untuk melihat pergerakan gajah melintas jalan.
“Kajian ini perlu dilakukan kerana kita bukan sahaja tidak mahu kemalangan membabitkan hidupan terancam ini berulang, malah mencari kaedah penting untuk memastikan habitat gajah terjaga,” katanya.
Beliau turut mencadangkan agar kawasan lintasan hidupan liar atau ‘viaduct’ yang terdiri daripada kawasan rehat gajah didirikan oleh pihak berkuasa.
“Ini adalah sebahagian perancangan untuk meningkatkan pengurusan habitat dan kawasan rayau gajah bagi melihat situasi kumpulan gajah, makanan, laluan mereka, tempat rehat dan kesesuaian dengan populasi gajah tempatan.
“Tempat rehat gajah yang sesuai perlu dibangunkan di situ untuk menghalang hidupan ini daripada menggunakan jalan raya,” katanya.
Ahmad berkata, pemantauan yang lebih agresif perlu dilakukan dengan menggunakan teknologi yang cekap dan penguatkuasaan undang-undang, yang tidak terhad kepada gajah Asia (Elephas maximus) tetapi semua hidupan liar termasuk harimau Malaya (Panthera tigris jacksoni).
Tambahnya, kenderaan berat seperti bas dan lori juga perlu mengikut had laju yang dibenarkan dengan tindakan pengawasan yang cekap dilakukan di situ.
“Di kawasan sensitif, panduan kepada pemandu dari segi had laju, amaran, papan tanda, dan tanda garis di jalan raya perlu dilaksanakan.
“Sekatan jalan raya perlu dilakukan di kawasan Gerik dan Jeli untuk memastikan had laju dipatuhi sepenuhnya.
“Tanda amaran gajah berada di jalan raya atau berhampiran jalan raya perlu didirikan dengan menggunakan sistem dan teknologi sensor yang bersesuaian untuk mengelakkan kejadian malang sedemikian berulang,” katanya.
Sumber: Harian Metro