BATU PAHAT: Persiapan majlis sudah lengkap dan hanya menunggu hari untuk melangsungkan perkahwinan, namun bakal pengantin perempuan menemui ajal akibat pagi tadi.
Siti Nur Syamira Samsol, 28, yang sepatutnya menjadi raja sehari Sabtu ini, meninggal dunia selepas kereta dinaiki bersama tunangnya, Muhammad Aiman Abdul Rashid, 30, terbabit kemalangan di Kilometer 93.3, Lebuhraya Utara-Selatan (arah selatan) kira-kira jam 8.30 pagi.
Arwah dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah ibunya, Zainab Sakardi, 61, di Kampung Benaung, Mersing bagi membuat persiapan, selain menghadiri majlis tahlil arwah bapanya, Samsol Ismail esok sebelum majlis persandingan berlangsung.
Kakaknya, Siti Nor Syamila, 37, berkata berita kematian itu hanya diketahui selepas dimaklumkan tunangnya sejurus terbabit kemalangan.
“Kami sudah buat persiapan sepenuhnya dan hanya tunggu hari majlis berlangsung, namun bila dapat berita sedih ini kami tak tahu nak cakap apa.
“Semua termasuk barang hantaran sudah siap lebih awal, arwah pun nampak gembira bila hari majlis semakin dekat. Persiapan dia minta nak uruskan semua, kami hanya bantu dalam hal tertentu.
“Dua tahun lalu, kami kehilangan abah, hari ini adik pula. Kesedihan kami belum terubat, ditambah pula pemergian adik dua hari sebelum majlis berlangsung,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) hari ini.
Menurut Nor Syamila, dia menerima panggilan daripada ibunya jam 9.15 pagi memaklumkan adiknya itu kemalangan, namun tidak menyangka membabitkan kematian.
“Kami beritahu adik beradik untuk bersiap ke sini (HSNI) untuk melawat arwah, namun kira-kira 15 minit kemudian, tunangnya hubungi saya beritahu adik sudah tiada.
“Sehari sebelum kejadian, arwah hubungi emak beritahu nak gerak balik ke Mersing dan mereka berjanji untuk keluar membeli barangan persiapan majlis kahwin,” katanya.
Mengenai majlis perkahwinan arwah Sabtu ini, Nor Syamila berkata, dia dan keluarga belum memutuskan sama ada perlu diteruskan atau ditukar kepada majlis tahlil.
Buat masa ini, katanya mereka perlu selesaikan urusan arwah yang akan dibawa pulang ke kampung halaman untuk dikebumikan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani mengesahkan kemalangan itu dengan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Kredit: Berita Harian